JoomlaTemplates.me by iPage Review

PERSIDANGAN BUAH-BUAHAN KEBANGSAAN 2021 (Persidangan Maya)
Penganjur: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI),
International Tropical Fruits Network (TFnet)
Disokong oleh: KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI MAKANAN (MAFI)

Tema:
Buah-buahan: Ke arah memperkasakan industri pertanian negara

Tarikh: 6-8 April 2021

LATAR BELAKANG
Sejak beberapa dekad kebelakangan ini, industri buah-buahan Malaysia telah berkembang pesat berikutan permintaan tempatan dan global yang kian meningkat, selain usaha kerajaan melalui pelbagai inisiatif serta dasar seperti Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 yang diwujudkan untuk mentransformasikan industri buah-buahan. Malaysia juga mempunyai kelebihan dari segi kepelbagaian spesies buah tropika yang tinggi dan keadaan iklim yang memberangsangkan untuk penanaman buah-buahan. Adalah penting kelebihan ini dimanfaatkan sepenuhnya, terutama sekali dengan peningkatan permintaan global untuk buah-buahan eksotik, agar Malaysia dapat menjadi negara pengeksport terunggul di dunia. Kebelakangan ini, Malaysia telah memfokuskan ke arah peningkatan pengeluaran buah-buahan premium untuk tujuan eksport, selain dijadikan sumber kekayaan baharu negara. Pelbagai strategi sedang rancak dipergiatkan untuk meluaskan penanaman dan meningkatkan pengeluaran untuk eksport. Namun demikian, Malaysia masih ketinggalan dari segi menembusi pasaran global bagi buahbuahan tropika jika dibandingkan dengan negara-negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Filipina. Pendekatan yang agresif diperlukan untuk meningkatkan pengeluaran dan pemasaran buah-buahan tropika yang lain disamping meningkatkan kebolehsaingan negara di peringkat antarabangsa. Sehubungan dengan itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan International Tropical Fruits Network (TFNet) akan   menganjurkan satu Persidangan Buah-buahan Kebangsaan untuk mengumpul kesemua pihak berkepentingan industri buah-buahan tempatan bagi membincangkan isu-isu berkait. Dengan adanya persidangan ini, pelbagai permasalahan dapat diketengahkan dan pandangan daripada kesemua pihak berkepentingan dapat dirumuskan ke arah mempertingkatkan impak industri buah-buahan tropika sebagai penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia.

OBJEKTIF

Persidangan ini bertujuan untuk menilai dan membincangkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar dan pengeksport buah-buahan tempatan.
Objektif khusus persidangan ini adalah untuk:
1.Mengenalpasti potensi buah-buahan tempatan untuk pasaran domestik dan antarabangsa;
2.Mengetengahkan teknologi dan inovasi terkini bagi meningkatkan produktiviti dan memperkasakan industri buah-buahan tempatan;
3.Membincangkan strategi bagi meningkatkan daya saing buah-buahan tempatan seperti penambahbaikan rantaian bekalan dan rantaian nilai dari segi infrastruktur,    pemprosesan, dan pemasaran;
4.Meningkatkan kerjasama di kalangan pemain industri buah-buahan tempatan seperti agensi kerajaan, pengimport/pengeksport, pengusaha besar serta pekebun-pekebun kecil dan sederhana

SKOP PERSIDANGAN
Pelbagai aspek disiplin yang akan diperbincangkan dalam persidangan seperti:

  •  Pembaikbakaan dan Agronomi
  •  Fisiologi Tanaman dan Pertumbuhan
  •  Pengurusan Nutrien dan Baja
  •  Pengurusan Perosak dan Penyakit
  •  Pengendalian Lepas Tuai
  •  Pemprosesan Makanan dan Pembangunan Produk
  •  Bioteknologi
  •  Mekanisasi dan Automasi
  •  Biodiversiti dan Persekitaran
  •  Ekonomi dan Pemasaran

SIAPA YANG PATUT HADIR?

  • Pegawai
  • Pegawai Agensi Kerajaan
  • Ahli Akademik
  • Pemain Industri (Syarikat/Pengeluar/Pengeskport)
  • Pelajar
  • Petani dan Usahawantani
  • Lain-lain berkepentingan